Pragmatik ialah cabang Linguistik yang berkaitan dengan kajian tentang makna dan kesan yang timbul daripada penggunaan bahasa tersebut dalam situasi tertentu. Pragmatik juga didefinisikan sebagai kajian yang berkaitan dengan penentuan hubungan antara simbol dan cara penggunaan simbol tersebut. Pragmatik adalah bersifat praktikal.
Yule (1996) menyebut empat definisi pragmatik iaitu bidang yang mengkaji makna, bidang yang mengkaji makna menurut konteksnya, bidang yang melebihi kajian mengenai makna yang diberikan dan bidang yang mengkaji bentuk ekspresi menurut jarak sosial yang membatasi percakapan tertentu.
Thomas (1995) menyebut dua kecenderungan dalam pragmatik terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama menggunakan sudut pandang sosial, menghubungkan pragmatik dengan makna (speaker meaning) dan kedua dengan menggunakan sudut pandang kognitif di mana ia menghubungkan pragmatik dengan interpretasi ujaran (utterance interpretation).
Leech (1983) melihat pragmatik sebagai bidang yang terdapat dalam linguistik yang mempunyai kaitan dengan semantik. Perhubungan ini disebut semantisisme iaitu melihat semantik sebagai sebahagian daripada pragmatik. Pemikiran pragmatik daripada segi literatur didefinisikan sebagai mengambil kira realiti alam sebenar. Setiap rancangan mengandungi lebih daripada satu pelan tindakan. Kemungkinan pemikiran pragmatik kurang sesuai dengan ahli akademik kerana mereka selalunya berfikir secara ideal dengan mengambilkira faktor realiti kehidupan.
Dalam kajian ini, pengkaji telah membuat analisis pragmatik bagi kata ganti nama diri iaitu ‘ambo’, ‘kawe’ dan ore/oghe yang sering digunakan penutur dialek daerah Kota Bharu, Kelantan.
Ambo
Perkataan ‘ambo’ banyak diguna pakai dalam pertuturan harian dikalangan lelaki. Kebanyakan pula membahaskan diri sebagai ‘ambo’ sebagai simbolik tanda hormat kepada si pendengar. Kata ‘ambo’ juga menunjukkan keakraban antara si penutur dan si pendengar.
Kawe
Perkataan ‘kawe’ pula merujuk kepada ganti diri ‘aku’ yang digunakan dalam bahasa pasar di negeri-negeri lain. Penggunaan kata ganti nama diri pertama iaitu ‘kawe’ juga menunjukkan keakraban antara si penutur dan si pendengar. Namun kata ganti nama diri yang lain seperti ‘saya’ dan ‘aku’ tetap digunakan. Biasanya kata ganti nama diri ‘saya’ digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah atau dalam situasi yang formal seperti dalam majlis-majlis rasmi. Selain itu, golongan kolar putih juga lebih selesa menggunakan kata ganti diri ‘saya’ dalam pertuturan harian cuma perkataan ‘saya’ dibunyikan sebagai ‘sa~yo’ manakala golongan muda biasanya menggunakan kata ganti nama diri ‘aku’.
Ore/Oghe
Perkataan ore atau oghe biasanya digunakan oleh golongan perempuan. Sebagai contoh, seorang anak perempuan lebih mesra untuk membahasakan dirinya sebagai ‘oghe’ atau ‘ore’ dengan kedua ibu-bapa apabila berada di rumah.














Dalam sesuatu majlis atau jamuan, anda biasanya Bergaul dengan banyak orang termasuk orang yang tak dikenali.